Anjuran membaca Doa Rabithah

 

 

No 17, Jalan Berlian 3, Taman Rengam Jaya, 86200 Simpang Rengam, Johor Darul Ta’zim.

https://tarbiyyahdppnj09.wordpress.com

 019-794 6512

Ruj. Kami : PAS/DPPN.12/3.03(02/09)

Ruj. Tuan :                        

Tarikh      : 20 Jun 2009 /

                : 26 Jamadil Akhir 1430H

Kepada;                                                                                                                                              

KETUA DEWAN PEMUDA DPPK

KETUA LAJNAH TARBIYYAH DPPK

PIMPINAN DAN AHLI PEMUDA NEGERI JOHOR

 

PER : DOA RABITAH

Telah maklum bahawa jamaah kita sedang menghadapi ujian demi ujian sebagaimana yang dijanjikan oleh Allah Subhanahu wa Taala dalam firmannya :

وَلَنَبْلُوَنَّكُمْ حَتَّى نَعْلَمَ الْمُجَاهِدِينَ مِنْكُمْ وَالصَّابِرِينَ وَنَبْلُوَ أَخْبَارَكُمْ


“Dan demi sesungguhnya! Kami tetap menguji kamu (wahai orang-orang yang mengaku beriman) sehingga ternyata pengetahuan Kami tentang adanya orang-orang yang berjuang dari kalangan kamu dan orang-orang yang sabar (dalam menjalankan perintah Kami); dan (sehingga) Kami dapat mengesahkan (benar atau tidaknya) berita-berita tentang keadaan kamu.”

( Surah Muhammad : 31 )

Kita hendaklah yakin bahawa ujian ini adalah datangnya dari Allah Subhanahu wa Taala bagi menguji serta menapis para JUNDULLAH dikalangan kita yang benar-benar ikhlas serta bertaqwa dalam JIHAD memperjuangkan agamaNya.

 

Maka ujian ini perlu dihadapi sebagaimana golongan terdahulu menghadapinya. Terdapat suatu kaedah yang penting dalam menghadapi musuh dan ujian sebegini. Ini diajarkan oleh Allah Subhanahu wa Taala dalam firmanNya :

يَاأَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا لَقِيتُمْ فِئَةً فَاثْبُتُوا وَاذْكُرُوا اللَّهَ كَثِيرًا لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ

“Wahai orang-orang yang beriman! Apabila kamu bertemu dengan sesuatu pasukan (musuh serta tipu daya mereka) maka hendaklah kamu tetap teguh menghadapinya, dan sebutlah serta ingatilah Allah (dengan doa) banyak-banyak, supaya kamu berjaya (mencapai kemenangan).”

( Surah Al-Anfal : 45 )

Ayat ini menerangkan kepada kita bahawa :

1)      Apabila bertemu musuh, hendaklah tetap teguh menghadapinya.

2)      Apabila menghadapi ujian, tidak boleh berlepas diri tetapi perlu menanganinya.

3)      Hendaklah sentiasa mengingati Allah.

4)      Hendaklah sentiasa berdoa memohon pertolongan daripada Allah Subhanahu wa Taala.

5)      Teguh dalam menghadapi musuh dan ujian serta mengingati Allah dan berdoa kepadaNya adalah jalan untuk mencapai kemenangan.

Maka dalam menghadapi ujian-ujian sebegini, janganlah kita melupakan Allah. Berbanyaklah berdoa kepada Allah yang Maha Mendengar lagi maha memustajabkan doa. Inilah senjata ampuh yang Allah Subhanahu wa Taala kurniakan kepada orang-orang yang beriman.

Rasulullah SAW menegaskan :

الدعاء سلاح المؤمن

“doa adalah senjata mukmin” (rawahu Abu Ya’la)

 

 

Maka dengan ini, Lajnah Tarbiyyah Dewan Pemuda PAS Negeri Johor menyarankan kepada setiap pimpinan dan ahli pemuda agar menghafaz dan melazimkan berdoa dengan sebuah doa yang masyhur yang dikenali sebagai DOA RABITAH.

Inilah doa dan kaifiyatnya.. 

DOA RABITAH(دعاء الرابطة)

اَللّهُمَّ إِنَّكَ تَعْلَمُ أَنَّ هَذِهِ الْقُلُوْبَ قَدِ اجْتَمَعَتْ عَلَي مَحَبَّتِكَ، وَالْتَقَتْ عَلَى طَاعَتِكَ، وَتَوَحَّدَتْ عَلَى دَعْوَتِكَ، وَتَعَاهَدَتْ عَلَى نُصْرَةِ شَرِيْعَتِكَ، فَوَثِّقِ اللَّهُمَّ رَابِطَتَهَا، وَأَدِمْ وُدَّهَا، وَاهْدِهَا سُبُلَهَا، وَامْلَأَهَا بِنُوْرِكَ الَّذِيْ لاَ يَخْبُوْا، وَاشْرَحْ صُدُوْرَهَا بِفَيْضِ الْإِيْمَانِ بِكَ، وَجَمِيْلِ التَّوَكُّلِ عَلَيْكَ، وَاَحْيِهَا بِمَعْرِفَتِكَ، وَأَمِتْهَا عَلَى الشَّهَادَةِ فِيْ سَبِيْلِكَ إِنَّكَ نِعْمَ الْمَوْلَى وَنِعْمَ النَّصِيْرِ، اَللَّهُمَّ أَمِيْنَ وَصَلِّ اللَّهُمَّ عَلَى سَيِّدَنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ وَسَلِّمْ.

Terjemahan doa:-

“Ya Allah, sesungguhnya Engkaulah yang Maha Mengetahui bahawa hati-hati ini, telah berhimpun di atas dasar kecintaan terhadapmu, bertemu di atas ketaatan kepada-Mu, bersatu bagi memikul beban dakwah-Mu, hati-hati ini telah mengikat persetiaan untuk menolong meninggikan syariat-Mu. Oleh itu, Ya Allah, Engkau perkukuhkan ikatannya dan Engkau kekalkan kemesraan hati-hati ini, tunjukilah hati-hati ini akan jalan yang sebenar, serta penuhkanlah (piala) hati-hati ini dengan cahaya Rabbani-Mu yang tidak kunjung malap. Lapangkanlah hati-hati dengan limpahan keimanan serta keindahan tawakkal kepada-Mu. Hidup suburkanlah hati-hati ini dengan makrifat (pengenalan yang sebenarnya) tentang-Mu. (Jika Engkau takdirkan kami mati) maka matikanlah hati-hati ini sebagai para syuhada dalam perjuangan agama-Mu. Sesungguhnya Engkau sebaik-baik pelindung dan sebaik-baik penolong. Ya Allah perkenankanlah doa kami”.

 

Kaifiyatnya..

  • Apabila membaca doa ini dan tatkala menyebut (ANNA HAZIHIL QULUB..) maka hendaklah diniatkan hati-hati pemimpin dan ahli PAS serta seluruh ahli gerakan Islam.

 

Semoga Allah Subhanahu wa Taala sentiasa memperkukuhkan ikatan ukhuwah, mengekalkan kemesraan sesama kita, mengelakkan perpecahan serta menunjukkan kepada kita semua akan jalan yang sebenar. Jalan yang diredhai oleh Allah Subhanahu wa Taala.

Sekian untuk makluman dan tindakan pihak tuan. Semoga Allah SWT memudahkan urusan kita. Amin..

“PEMUDA PENGGERAK PERJUANGAN”

Yang menjalankan amanah,

Al-Faqir Ustaz Ibrahim Hj Masran Al-Banjari

Pengerusi Lajnah Tarbiyyah & Latihan Perkaderan

Dewan Pemuda PAS Negeri Johor

Emel      : ibnumasran@yahoo.com

Blog       : http://tarbiyyahibnumasran.blogspot.com

Agenda Tarbiyyah DPPNJ sesi 2009-2011

 

 

No 17, Jalan Berlian 3, Taman Rengam Jaya, 86200 Simpang Rengam, Johor Darul Ta’zim.

https://tarbiyyahdppnj09.wordpress.com

 019-794 6512

28 Jamadil Awal 1430H

23 Mei 2009

 

PERANCANGAN

LAJNAH TARBIYYAH & LATIHAN PERKADERAN

DEWAN PEMUDA PAS NEGERI JOHOR :

 AGENDA SESSI 2009-2011

بسم الله الرحمن الرحيم

الحمد لله رب العلمين, والصلاة والسلام على سيدنا محمد أشرف الأنبياء والمرسلين, وعلى آله وصحبه ومن سار على نهجه الى يوم الدين. أما بعد :

 

Inilah catatan ringkas berkenaan agenda besar Lajnah Tarbiyyah & Latihan Perkaderan DPPNJ. Agenda ini akan dilaksanakan tanpa mengabaikan agenda tarbiyyah sediaada yang sudah terlaksana sekian lama. Ianya sebagai proses pemerkasaan tarbiyyah dan pembaharuan pakej. MANHAJ MADRASAH TARBIYYAH DPPNJ tetap menjadi panduan dalam perlaksanaan agenda ini.

Agenda yang dimaksudkan adalah seperti berikut ;

1)    Menghidupkan MAJLIS NUQABA’

2)    Mewujudkan MAJLIS TA’LIM PERDANA

3)    Mewujudkan DAURAH JUNDIYAH

4)    Memperkasakan TAMRIN TARBAWI, THAQAFI & QIYADI diperingkat DPPK & DPPNJ.

5)    Mengaktifkan program HIMPUNAN PEMUDA diperingkat ZON & Negeri, bagi menjana TARBIYAH UKHUWAH ISLAMIYAH.

Keterangan ringkasnya adalah seperti berikut;

1)    Menghidupkan MAJLIS NUQABA’

–          Membina rangkaian para naqib seluruh dppk.

–          Mengatasi masalah-masalah sekitar peranan & tugas naqib.

–          Berkongsi kemahiran

–          Melahirkan naqib berwibawa

–          Memantau keberkesanan Usrah dari sudut;

  • Taaruf
  • Tafahum
  • Takaful

–          Ke arah melahirkan para murabbi pelapis.

–          Mewujudkan kesatuan dalam perlaksanaan manhaj dan arahan kepimpinan.

2)    Mewujudkan MAJLIS TA’LIM PERDANA

–          Iaitu kuliah perdana pemuda sebagaimana yang disaran oleh Ketua Pemuda dalam ucaptema muktamar DPPNJ 09.

–          Meningkatkan ilmu, kefahaman dan tasawwur yang jelas terhadap kesyumulan deenul Islam dikalangan pemuda.

–          Kuliah perdana ini merangkumi ;

1)    ilmu aqidah,

2)    hadith nabawi,

3)    feqh sirah,

4)    feqh dakwah,

5)    Tafsir al-Quran.

–          Tenaga pengajar adalah daripada kalangan pemuda.(ulama muda)

–          Berdasarkan kitab turath dan kotemporari.

–          Berpusat di Seri Gading, Bakri, Tebrau, Simpang Renggam dan Segamat.

–          2 hari 2 malam. @ sehari semalam.

3)    Mewujudkan DAURAH JUNDIYAH

–          Kursus intensif bagi meningkatkan syakhsiyah & thaqafah islamiyah harakiyah

–          Mensasarkan anggota Unit Amal dan petugas-petugas PAS dikalangan pemuda.

–          Daurah diadakan berdasarkan ;

  • Marhalah taarif (pengenalan)
  • Marhalah takwin (pembentukan)
  • Marhalah tanfiz (qiadi/kepimpinan unit amal)

–          kerjasama Jabatan Amal Johor.

 4)    Memperkasakan TAMRIN TARBAWI , THAQAFI & QIYADI diperingkat DPPK & DPPNJ.

–          Meneruskan agenda wajib.

–          Memastikan agenda tarbiyyah menyusup masuk kesemua peringkat dan marhalah berteraskan manhaj yang disediakan.

–          Membina dan melahirkan thaqafah, fikrah, tazkiyyah dan sofwatul mukhtarah.

 5)    Mengaktifkan program HIMPUNAN PEMUDA diperingkat ZON & Negeri, bagi menjana TARBIYAH UKHUWAH ISLAMIYAH.

–          Memahami bahawa ukhuwah adalah asas penting dalam jamaah.

–          Membina pemuda yang mempunyai rantaian ukhuwah islamiyah  “cubit peha kanan, peha kiri terasa sakit”.

–          Membangkitkan amal jama’ie dan tarbiyyah amaliyah.

–          Menghidupkan semula salam ukhuwah & doa wahdah.

–          Menjadi “PEMUDA PENGGERAK PERJUANGAN”

Semua agenda ini akan diperhalusi lagi bagi persiapan takwim, tempat, dan sasarannya. Surat pekeliling akan dikeluarkan oleh pihak lajnah tarbiyyah DPPNJ untuk tindakan seterusnya.

Sokongan dan dokongan semua pihak amat diharapkan. Semoga Allah SWT membantu dan memudahkan urusan kita. Amiin..

الله أكبر! الله أكبر! الله أكبر! ولله الحمد..

“PEMUDA PENGGERAK PERJUANGAN”

Disediakan oleh;

Al-faqir ila Allah,

Ust. Ibrahim Hj Masran al-Banjari 

Pengerusi ,

Lajnah Tarbiyah & Latihan Perkaderan

Dewan Pemuda PAS Negeri Johor.

Blog : ibnumasran.wordpress.com

Emel : ibnumasran@yahoo.com

Sekitar Tamrin Qiadi DPPNJ Siri ke 2

Kepimpinan DPPNJ [Peserta Tamrin Qiadi DPPNJ Siri ke 2]
jungle1
Mara terus ke hadapan..
penutup
Sdr Khairul Faizi (Ketua DPPNJ) menyampaikan ucapan penutup.
harian21
Khairul Faizi, Ust Azam, Faizol & Suhaizan..
kemkom
Kem Komandan & Timb. Komandan..
asdfhhj
Siap siaga…
harian
Khairul Faizi, Ust Ruhaizam, Hamid & Faizol..
asd
Sebahagian peserta tamrin..
Mengharap redha ALLAH..

Amin.. Ya Rabbal ‘alamin..

Muhasabah diri.. Ya Allah.. kerdilnya diri kami..
 Santapan rohani bersama murabbi..

Sekitar Program Mukhayam Tarbawi DPP Zon Selatan

100_1897
Sdr Khairul Faizi (Ketua DPPNJ) menyampaikan ucapan perasmian di hadapan lebih 90 peserta. Turut hadir wakil daripada PKR.
100_1906
al-Fadhil Ust Azam Abd Razak memberi pengisian sessi kedua.
Carta Nata’iju at- Taqwa.. (Hasil Taqwa)
disampaikan oleh al-Fadhil Ust Ibrahim al-Banjari
Gabungan Pemuda Pas Zon Selatan
(Tebrau, Pasir Gudang, Pulai, Kulai & Gelang Patah)
Qiamullail dipimpin oleh al-Fadhil Ust Ibrahim al-Banjari
Majlis Zikir di keheningan malam menjelang fajar..
Hari kedua.. Membina Ukhuwwah Islamiyyah.
Penutup disampaikan oleh  al-Fadhil Ust Ibrahim al-Banjari.
Cenderahati diberi kepada peserta Mukhayyam..
Laungan Doa Wahdah dan salam ukhuwwah
mengobarkan jiwa-jiwa pemuda Islam..
Allahu Akbar!
Syabas kepada Sdr Zaaba Ibrahim, Sdr Samsul, Sdr Bazihar, Sdr Zuhan
dan semua Pemuda Zon Selatan!

Doa buat Umat Islam Gazah – DPPNJ

SASARAN DAKWAH

SASARAN DAKWAH

MUQADDIMAH

Sasaran dakwah adalah di antara beberapa siri tajuk yang amat penting untuk diperbincangkan terutamanya di kalangan ahli gerakan Islam.

Ini kerana mereka bertanggungjawab untuk mengatur strategi dan menyusun perancangan bagi memastikan target group yang disasarkan dapat dihampiri seterusnya diberikan asas kefahaman Islam yang sebenarnya.

Apabila seseorang itu menyebut perkataan dakwah paling kurang ia akan bertemu dengan tajuk-tajuk kecil ke arah pemahaman konsep dakwah, tajuk-tajuk itu ialah pendokong dakwah, orang-orang yang diseru kepada dakwah, cara-cara menyampaikan dakwah, jalan dakwah dan sebagainya.

Fokus kita kali ini ialah orang-orang yang menjadi sasaran dakwah (mad’u). Sebelum kita bincang lebih jauh mengenai golongan-golongan mad’u yang disenaraikan sasaran dakwah, mari kita lihat sejenak hak-hak penerima dakwah.

Di antara hak-hak penerima dakwah ialah agar mereka ditemui dan diajak kepada Islam iaitu pendakwah harus keluar menemui dan menyerunya ke jalan Allah. Dengan kata lain amat tidak patut seseorang pendakwah hanya tinggal diam atau hanya menanti kedatangan mereka di rumah.

Sebagai contoh Rasulullah s.a.w. sendiri keluar menemui kaum Quraisy, keluar menemui ketua-ketua kabilah di Makkah yang keluar pada musim haji dan baginda juga keluar berdakwah ke Taif.

JANGAN MEMANDANG RENDAH PARA MAD’U

Juru dakwah tidak boleh memandang remeh atau menganggap hina kepada orang yang diseru kerana tugasnya hanya menyeru dan mengajak.Namun kadang-kadang atas dorongan emosi juru dakwah tidak mampu sehingga menyebabkan mereka merasa diri mereka lebih banyak berkhidmat kepada Islam dan meremehkan orang lain.

Penerima dakwah Islam secara umumnya ialah seluruh umat manusia kerana agama Islam yang diturunkan kepada Nabi Muhammad s.a.w. adalah agama yang terakhir dan bersifat universal tanpa mengira jantina, darjat keturunan, sempadan kedaerahan, pekerjaan, warna kulit dan sebagainya. Contoh ini telah dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. seperti berikut:

a)Dakwah kepada Abu Bakar yang berbangsa Arab

b)Dakwah kepada Bilal yang berbangsa Negro

c)Dakwah kepada Suhaib yang berbangsa Rumawi

d)Dakwah kepada Salman yang berbangsa Parsi

e)Dakwah kepada Khadijah dari kalangan kaum perempuan

f)Dakwah kepada Ali dari kalangan kanak-kanak

g)Dakwah kepada Uthman dari golongan hartawan

h)Dakwah kepada Ammar dari golongan miskin

SASARAN DAKWAH

Secara khususnya sasaran dakwah dapat dibahagikan kepada empat golongan:

1. Golongan Al-Malak

Iaitu golongan yang mempunyai kelebihan dari segi kebendaan yang mana mereka ini agak sukar untuk menerima seruan dakwah

2. Golongan Al-Jumhur

Golongan ini lebih cepat menerima Islam berbanding dengan golongan al-malak kerana mereka tidak mempunyai sifat-sifat seperti cinta kepada keduniaan dan kekuasaan yang akan menimbulkan sikap sombong sebagaimana golongan al-malak

3. Golongan Munafik

Golongan ini mula muncul di Madinah.Mereka ini lebih jahat daripada orang-orang kafir dan diumpamakan sebagai musuh dalam selimut yang berpura-pura menyatakan keimanan tetapi bersikap memusuhi Islam seperti menghasut kaum muslimin mengajak meninggalkan jihad dan berpakat dengan kaum musyrikin menghancurkan Islam.

4. Orang-orang yang membuat maksiat (al-‘asi)

Mereka ini ialah orang-orang yang beriman dan bersyahadah namun tidak menunaikan isi dan jiwa syahadah yang dituturkannya. Tingkatan maksiat yang dilakukan berbeza samada banyak atau sedikit sebagaimana Bani Adam tidak pernah sunyi daripada membuat silap. Sesungguhnya Allah suka kepada orang yang mensucikan jiwanya.

SIKAP PENDAKWAH TERHADAP GOLONGAN AL-‘ASI

Setiap pendakwah perlu memandang padanya dengan perasaan belas kasihan. Mereka perlu melihatnya seperti orang berada di pinggir jurang yang dalam dan gelap gelita.

Mereka juga perlu melihatnya dengan perasaan yang terdorong untuk menyelamatkannya dari kebinasaan itu.

TAKTIK DAN STRATEGI

Apabila membicarakan taktik dan strategi dakwah kita sebenarnya memberi keutamaan kepada orang-orang yang belum Islam khususnya orang-orang Cina kalau dalam konteks Malaysia kerana bilangan mereka yang ramai dan mereka jugalah yang menguasai ekonomi dan juga kemahiran dalam segala lapangan.

Masa depan negara ini dan masa depan negara kita bergantung kepada sejauh mana kita dapat mempertahankan kekuatan politik yang ada di tangan kita sekarang. Kita tidak boleh bergantung kepada UMNO kerana UMNO banyak membuat kesilapan politik yang terpaksa kita tanggung bersama.

Cara paling baik dalam gerakan dakwah kita ialah memahamkan orang-orang Cina di Malaysia dengan kerjasama orang-orang Cina Muslim di negara China.

Inilah sasaran dakwah yang perlu diberi keutamaan. Bukan lagi kepada orang-orang UMNO dan Melayu di atas pagar kerana mereka ini hanya cukup sekadar kita memberi peringatan, tunjuk ajar dan bimbingan agar mereka bersemangat Islam.

PENUTUP

Sekali lagi kita mengharapkan agar PAS mengutamakan dakwah kepada orang-orang belum Islam. Jika ini yang kita usahakan barulah bertepatan dengan pengertian dakwah yang sebenar.

Semoga kita berjaya memilih sasaran yang tepat dengan itu kita akan lebih bersemangat untuk berdakwah kerana di sana ada jaminan Allah yang tidak boleh dipertikaikan lagi.

USLUB DAKWAH

USLUB DAKWAH

MUQADDIMAH

 

Uslub dakwah merupakan satu istilah yang tidak pernah lekang dari bibir setiap petugas dakwah. Oleh kerana ia telah menjadi suatu perkara yang biasa disebut, maka ia tidak lagi berhajat kepada penghuraian.

 

Lantaran itu, hampir setiap pendakwah mentafsirkan uslub dakwah menurut kacamata mereka masing-masing, sesuai dengan perkumpulan yang mereka wakili.

 

Dari situ satu huraian lengkap berhubung dengan uslub dakwah diperlukan bagi menjamin seseorang pendakwah itu tidak menyeleweng dari landasan penafsiran. Ianya mestilah bermula dari Al-Quran yang telah dijamin kebenarannya oleh Allah s.w. t.

 

USLUB DAKWAH MENURUT AL-QURAN

 

Di dalam Al-Quran, ayat yang menyebut perkataan uslub sebenarnya tidak ada. Apa yang ada ialah permahaman yang boleh diambil sewaktu Allah s.w.t. berfirman memerintah manusia menyeru ke jalanNya. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud:

 

“Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalanNya, dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk.” (Al-Nahl: 125)

 

Apabila persoalan uslub di dalam ayat di atas diletakkan selepas daripada seruan dakwah, ia menunjukkan bahawa uslub adalah perkara kedua.

 

Perkara paling utama ialah menyeru manusia terlebih dahulu ke jalan Allah, Tuhan yang menciptakan mereka. Kesedaran ini perlu diutamakan terlebih dahulu, barulah berbincang mengenai uslub dakwah.

 

Apa yang berlaku dalam masyarakat hari ini ialah kecenderungan membincangkan uslub terlebih dahulu. Setelah mereka berselisih dalam persoalan uslub dakwah, bagaimana mereka boleh bersatu dalam menjalankan tugas dakwah.

 

Usaha menentukan uslub siapa yang lebih betul sudah cukup membuang masa seseorang petugas Islam. Sedangkan Tuham menyuruh mereka memulakan tugas dakwah terlebih dahulu, kemudian dalam mengolah dakwah barulah timbul persoalan.

 

Sebagaimana yang kita sebutkan sebentar tadi, perkataaan uslub secara jelas tidak disebut dalam Al-Quran, namun begitu perkataan yang hampir sama dengan pengertian uslub telah disebutkan oleh Allah dalam firmanNya yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kepada Allah dan carilah yang boleh menyampaikan kepadaNya (dengan mematuhi perintahNya dan meninggalkan laranganNya); dan berjuanglah pada jalan Allah (untuk menegakkan Islam) supaya kamu beroleh kejayaan.” (Al-Ma’idah: 35)

 

Ayat di atas menggesa orang mukmin supaya bertaqwa dan mencari jalan serta cara yang menyampaikan mereka kepada taqwa. Oleh kerana jalan menuju Allah tidak boleh dinamakan uslub, maka kalimah yang dipakai ialah al-wasilah. Dengan ini al-wasilah lebih luas pengertiannya dari uslub sebagaimana ia juga lebih umum dari pengertian uslub.

 

Dari itu, kesimpulan yang boleh kita buat ialah uslub bermaksud teknik-teknik yang boleh digunakan bagi mencapai sesuatu matlamat. Berdasarkan kefahaman ini ia lebih merujuk kepada pengertian yang agak khusus dan agak tertumpu kepada unsur -unsur kepakaran dalam menjalankan sesuatu tugas.

 

Jika disatukan pengertian ini dalam konsep gabung jalin antara kalimah uslub dan dakwah, maka ia bermaksud teknik-teknik yang perlu diambil kira dalam proses menyampaikan dakwah dan menyeru manusia kepada jalan Allah atau lebih khusus lagi kepada pengabdian diri kepada Allah, menjauhi taghut, melakukan yang makruf dan mencegah yang mungkar.

 

Kefahaman Ayat 125 surat Al-Nahl Dari Kacamata Uslub Dakwah

 

Ayat yang disebut sebentar tadi membuat beberapa garis panduan dalam perlaksanaan dakwah iaitu kewajipan menyeru manusia ke jalan Allah. Penyeruan inilah yang dinamakan dakwah. Dalam proses penyeruan ini hendaklah diketahui cara- caranya, supaya dakwah itu boleh sampai kepada mereka. Inilah yang dikatakan kemahiran dan inilah uslubnya.Uslub dakwah yang dibentangkan secara tidak langsung oleh ayat tadi ialah:

 

a)Hikmah

 

b)Nasihat-nasihat yang baik

 

c)Bertukar-tukar fikiran dengan cara yang lebih baik

 

USLUB HIKMAH

 

Uslub hikmah dalam menyampaikan dakwah dapat dibahagikan kepada tiga bahagian iaitu:

 

•Hikmah yang berhubung dengan sifat-sifat pendakwah di jalan Allah hendaklah bersifat menurut sifat-sifat Nabi seperti benar, amanah, bijaksana dan tabligh, berlaku adil, tidak lekas marah, sabar dan mempunyai pengetahuan serta pengalaman yang luas.

 

•Hikmah berhubung dengan isi kandungan dakwah. Ia bermakna pendakwah ke jalan Allah hendaklah menyampaikan isi kandungan dakwah itu dari kandungan Al-Quran dan segala penerangan hendaklah menepati kebenaran serta dalil-dalil yang kuat dan tepat yang boleh mengurangkan keraguan. Kata-kata yang digunakan hendaklah sesuai dengan kemampuan pendengar.

 

•Hikmah yang berhubung dengan alat dan strategi dakwah. Segala alat dan strategi yang digunakan betul-betul sesuai dengan tempatnya untuk mencegah berlakunya kerosakan kepada gerakan dakwah itu sendiri.

 

 

USLUB NASIHAT YANG BAIK

 

Nasihat yang baik ialah persanan dan ingatan dengan apa yang disukai oleh orang ramai tentang kebaikan dan mereka bersedia menerimanya dan benci kepada kejahatan serta mereka akan menjauhinya.

 

Boleh juga difahami dengan nasihat yang baik ialah nasihat yang masuk ke dalam hati dengan halus dan mendalam, menembusi perasaan dan jiwa dengan lembut, kerana berlemah lembut dalam nasihat itu biasanya boleh memberi petunjuk kepada hati yang sesat dan boleh menjinakkan hati yang liar dan boleh mendatangkan natijah yang lebih baik.

 

Cara nasihat yang baik bergantung kepada perbandingan di antara iman dan kufur, antara kebaikan dan kejahatan, antara taat dan maksiat, antara halal dan haram. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud:

 

“Sesungguhnya telah berlaku sebelum kamu (contoh kejadian-kejadian berdasarkan) peraturan-peraturan Allah yang tetap; oleh itu mengembaralah kamu di muka bumi, kemudian perhatikanlah bagaimana akibat orang-orang yang mendustakan ( Rasul-rasul).” (Ali-‘Imran: 137)

 

 

USLUB BERBINCANG DENGAN CARA BAIK

 

 

Para da’i hendaklah menjalankan dakwahnya dengan mengikuti cara yang lemah-lembut dalam perkataan dan menjauhkan kelakuan yang kasar dan kesat.

 

Gunakanlah sebaik-baik cara berhubung dengan tujuan untuk menjauhkan pendengar-pendengar yang didakwahkan itu dan merasa bahawa pendakwah itu menyerang aqidah yang mereka mempertahankannya. Perancangan cara begini adalah lebih kuat, berpengaruh dan berkesan. Firman Allah s.w.t yang bermaksud:

 

“Dan janganlah kamu berbahas dengan Ahli Kitab melainkan dengan cara yang lebih baik, kecuali orang-orang yang berlaku zalim di antara mereka; dan katakanlah (kepada mereka) : “Kami beriman kepada (Al-Quran) yang diturunkan kepada kami dan kepada (Taurat dan Injil) yang diturunkan kepada kamu; dan Tuhan kamu, juga Tuhan kamu, adalah Satu; dan kepadaNyalah, kami patuh dengan berserah diri.” (Al-Ankabut: 46)

 

Inilah juga firman Allah s.w.t. kepada Nabi Musa a.s. dan saudaranya Harun a.s. ketika mereka diutuskan oleh Allah s.w.t. kepada Firaun yang sombong. Sungguhpun begitu, Allah s.w.t. memerintahkan mereka supaya berlemah-lembut. FirmanNya yang bermaksud:

 

“Pergilah kamu berdua kepada Firaun, sesungguhnya ia telah melampaui batas dalam kekufurannya. “Kemudian hendaklah kamu berkata kepadanya, dengan kata-kata yang lemah-lembut, semoga ia beringat atau takut.” (Taha: 43-44)

 

Apabila Allah s.w.t. menyatakan supaya dalam berbincang mestilah dengan cara yang baik, maka para da’i perlulah membuat persiapan terlebih dahulu dan segi hujah, latihan, teknik, berbincang yang terbaik, supaya lahir seorang da’i yang mempunyai karisma yang tinggi dalam berdiskusi.

 

Kalau tidak adalah lebih baik jika dia tidak memberikan kesanggupan dari awal semasa proses temujanji dilakukan.

 

Kalau ia mempunyai fakta yang lengkap dan cukup jitu, maka ia tidak akan mudah panas baran dan melenting apabila dicemuh atau diserang kerana dia tahu peluru yang ada padanya mencukupi serta mampu menjawab semua hujah musuh atau orang-orang yang diseru kepada Islam.

 

Pendakwah kadang-kadang mudah naik angin dengan berbagai-bagai soalan kerana tiada persiapan. Dia akan bimbang sekiranya persoalan itu mematikan ideanya untuk berhujah.

 

Boleh jadi ada orang bertanya, jika pendakwah selalu berlembut dan memilih perbincangan dengan cara yang baik maka bilakah masanya akan berlaku keras. Kita menjawab keras boleh berlaku tetapi dalam kadar dan ruang lingkup membalas setara dengan apa yang mereka lakukan.

 

Kalau dalam peperangan sekalipun Islam tidak cenderung kepada kekasaran tetapi lebih kepada unsur membalas setara dengan apa yang dilakukan. Maka di dalam dakwah sifat ini lebih dituntut kerana peringkat ini ialah peringkat dakwah iaitu seruan dan pemberian maklumat perintah Islam. Manakala, peringkat perang ialah peringkat jihad.

 

Lagi pula kalau kasar merugikan dan lemah lembut tidak merugikan maka baiklah kita berlaku lembut kerana kita tidak akan cepat kehabisan peluru. Barangkali peluru akan digunakan dengan begitu waspada sekali. Kalau peluru dilepaskan dilepaskan bertubi-tubi dengan begitu kasar sekali boleh jadi kehancuran akan berlaku.

 

Sedangkan pendakwah tidak lebih dari seorang doktor untuk merawat pesakit supaya ia sembuh bukan bertujuan untuk membunuhnya.

 

Satu hakikat yang sering berlaku ialah musuh lebih mudah hilang pertimbangan dalam menghadapi dakwah samada mereka dari awal-awal lagi menolak apa-apa perbincangan atau mereka lebih mudah cenderung kepada hilang pertimbangan.

 

Kerana mereka tahu bahawa mereka tidak mampu menghadapi hujah-hujah dari golongan Islam. Contoh mudah ialah mana- mana forum di universiti tempatan yang menjemput wakil PAS maka wakil UMNO pasti akan menolak atau menarik diri dari hadir. Sedangkan mereka adalah pemerintah dan mereka dianggap sebagai orang yang berkuasa.

 

Contoh kedua ialah peristiwa pembunuhan anak Nabi Adam a.s. iaitu antara Qabil dan Habil. Qabil sanggup membunuh adik kandungnya sendiri lantaran kerana hilang pertimbangan antara akal dan nafsu.

 

PENUTUP

 

Sekiranya segala cara telah dilakukan namun mereka masih menolak dakwah maka para da’I tidak seharusnya dihantui oleh fikiran bahawa mereka telah gagal melaksanakan amanah mereka. Ini kerana soal hidayah dan penerimaan mad’u terhadap dakwah adalah dalam ruang lingkup kehendak mutlak Allah s.w.t.

Maudhu’ Dakwah

Maudhu’ Dakwah

MUQADDIMAH

Maudhu atau kandungan dakwah yang akan dibicarakan di bawah adalah khusus untuk masyarakat umum iaitu untuk memenuhi marhalah al-ta’rif sahaja.

Secara umumnya, maudhudakwah ialah ajaran Islam kerana ia merupakan risalah yang dibawa oleh para rasul dan satu-satunya agama yang diredhai Allah.

Di antara kandungan dakwah yang perlu diketengahkan kepada masyarakat umum khususnya melalui majlis-majlis ilmu (kuliah maghrib, zohor dan lain-lain), ceramah umum dan penulisan ialah:

1. Asas-asas ajaran Islam yang mencakupi persoalan Iman, Islam dan ihsan Persoalan iman (aqidah) hendaklah diperjelaskan dalam lingkungan ajaran al-Quran dan al-Sunnah yang sahih dengan mudah dan jauh daripada penghuraian ahli kalam yang memeningkan kepala.

Persoalan yang perlu ditekankan ialah huraian berkenaan rukun-rukun Iman.

Persoalan Islam (fiqh) pula hendaklah diajar dengan menjauhkan daripada perselisihan mazhab dengan menjelaskan dalil dan hikmah pensyariatan serta mengaitkannya dengan kehidupan.

Persoalan yang perlu ditekankan ialah huraian berkenaan rukun-rukun Islam. Persoalan ihsan (akhlak) juga hendaklah diajar dengan menjauhkannya daripada pelampauan ahli tasawuf dan penghuraian yang tidak memberi manfaat oleh ahli falsafah.

Di antara jenis-jenis ihsan yang perlu dihuraikan ialah:

· Ihsan dengan pengertian muraqabatullah

· Ihsan dengan pengertian berbakti kepada Allah

· Ihsan kepada umat Islam dengan cara memperkukuhkan hubungan al-ukhuwwah fillah

· Ihsan kepada semua makhluk dengan maksud bermuamalah dengan baik bersama mereka

· Ihsan dengan pengertian melakukan sesuatu tugasan dengan penuh tekun dan bersungguh-sungguh

2. Pentafsiran al-Quran dan al-Sunnah Pentafsiran yang dimaksudkan ialah tafsiran yang bersesuaian dengan apa yang telah dihuraikan oleh fuqahadan mufassirin terdahulu serta mengaitkannya dengan realiti dan isu-isu semasa yang dihadapi oleh masyarakat dan umat Islam sedunia.

Pentafsiran juga perlu menepati dengan cara yang telah digariskan oleh para ulamadan mufassirin supaya dalil-dalil tersebut difahami dengan jelas serta diketahui sabab nuzul ayat dan sabab wurud hadith.

Selain itu, dakwah juga perlu dijauhkan daripada pengaruh isra’iliyat dalam pentafsiran atau dicampuradukkan dengan hadith-hadith yang dicipta.

Ini memerlukan kepada ketelitian serta penguasaan ilmu yang sempurna.

3. Memperjelaskan tentang halangan dan ancaman dakwah daripada pihak pemerintah serta berusaha menghadapinya.

Berhubung dengan maudhudi atas, sirah nabawiyah, sirah para sahabat serta perjalanan hidup para pejuang dan tokoh-tokoh Islam dari kalangan ulamadan orang-orang yang soleh hendaklah diberi penjelasan yang berbentuk haraki sebagaimana yang terkandung di dalam Fiqh al-Sirah, Fiqh al-Harakah dan lain-lain.

Isu-isu semasa yang diperbahaskan juga perlu dikaitkan dengan sirah dan peristiwa sepanjang sejarah umat Islam untuk dijadikan pengiktibaran dan pengajaran.

4. Menolak salah faham terhadap Islam dan tuduhan palsu terhadap Parti (Jamaah) Sanggahan terhadap salah faham dan tuduhan-tuduhan palsu terhadap Islam dan PAS boleh dilakukan melalui perbualan, diskusi, seminar,majlis-majlis ilmu, ceramah umum dan tulisan.

Ini bermakna setiap ahli parti boleh menyempurnakan tanggungjawab ini dan tidak perlu diserahkan kepada golongan ustaz semata-mata.

Ianya perlulah dipikul bersama dengan setiap pihak memainkan peranan untuk mempertahankan jamaah daripada fitnah dan tohmahan nista pihak-pihak musuh.

Dengan keterbatasan media dan saluran penyampaian maklumat, usaha untuk menangkis segala tuduhan tidak berasas ini perlu dilakukan dengan teratur demi mempertahankan maruah jamaah.

Secara lebih terperinci, di antara maudhudakwah yang boleh diketengahkan kepada masyarakat ialah sebagaimana berikut:

Iman

1. La ilaha illa Allah sebagai Manhaj al-Hayah

2. Beriman kepada Para Malaikat

3. Kisah-kisah Perjuangan Para Rasul

4. Beriman kepada kandungan al-Quran

5. Beriman kepada hari Qiamat

6. Beriman kepada Qadhadan qadar

Islam

1. Syahadatain : Konsep dan Tuntutannya

2. Solat : Kesempurnaan, Tuntutan dan Fadhilatnya

3. Puasa : Tuntutan dan Fadhilatnya

4. Zakat : Tuntutan dan Fadhilatnya

5. Pedoman Haji

6. Hukum-hukum Muamalat

7. Hukum-hukum Munakahat

8. Hukum-hukum Jenayah Islam

Akhlak, Disiplin dan Fikrah Perjuangan (Tarbiyah)

1. Kemuliaan Akhlak sebagai tujuan Utama Perutusan Rasulullah

2. Sepuluh Rukun Bai’ah (faham, ikhlas, amal, jihad, pengorbanan, taat, tetap pendirian, tajarrud, ukhuwwah dan thiqah)

3. Kepentingan WalaDalam Perjuangan Islam

4. Konsep Syura dan Tuntutannya

5. Golongan Yang Tercicir Di Sepanjang Jalan Dakwah (Fathi Yakan)

6. Pendidikan Anak-anak (Abdullah NasihUlwan)

Dakwah dan Jihad

1. Dakwah dan Jihad : Konsep dan Tuntutannya

2. Ciri-ciri Jamaah Islam (Haji Harun Taib)

3. Mengenali Perlembagaan PAS

4. Mehnah dan Tribulasi Dalam Perjuangan

5. Kisah-kisah Perjuangan Para Sahabat

6. Pengurusan Dakwah

Sistem Politik Islam

1. Konsep Negara Islam

2. Konsep Pengasingan Kuasa Menurut Islam

3. Hak-hak Non-Muslim Di Dalam Negara Islam

4. Konsep Khilafah Islamiyah

5. Perhubungan Antarabangsa Islam dan lain-lain

 

Akhlak dan Adab Berjemaah

Akhlak dan Adab Berjemaah

MUQADDIMAH

Adapun parti kita (Parti Islam Se-Malaysia) berada di atas prinsip yang benar iaitu menegakkan Islam secara menyeluruh.

Ia bermula daripada ikrar syahadah dan menunaikan tuntutannya dalam diri setiap individu, rumahtangga, bermasyarakat sehinggalah perkara yang tidak dilakukan oleh jamaah-jamaah lain secara tegas, iaitu menegakkan negara Islam.

Maka dengan itu, ia telah membezakan kita dengan parti-parti, jamaah-jamaah dan kumpulan-kumpulan lain termasuklah yang bernama Islam.

Prinsip ini menyebabkan kita menghadapi cabaran lebih banyak dan hebat, namun kita terus maju dan berkembang. Walaupun demikian, kita perlu memenuhi tuntutan-tuntutan yang berkait dengan setiap ahli di semua peringkat demi mencapai kemenangan yang dijanji kurnia oleh Allah s.w.t. yang bermaksud:

“Allah berjanji kepada orang-orang yang beriman dan beramal soleh di kalangan kamu, bahawa dia akan menjadikan mereka itu khalifah (orang yang memerintah dengan Islam) di atas bumi sebagaimana dia pernah mengurniakan khilafah kepada orang -orang yang terdahulu daripada mereka. Dia akan menjadikan agama mereka (Islam) yang Dia redha memerintah untuk mereka dan Dia akan menukarkan kepada mereka suatu keadaan selepas berada dalam ketakutan kepada keamanan. Mereka itu menyembahKu, tidak menyekutuiKu dengan sesuatu yang lain dan sesiapa yang menjadi kufur selepas itu maka mereka itulah orang-orang yang fasik.” (Al-Nur: 55)

Perlu difahami juga bahawa tidak memadai sekadar hanya berdiri di atas dasar yng benar tanpa membina peribadi dengan akhlak-akhlak berparti atau berjamaah.

Oleh itu, maka saya kemukakan beberapa perkara yang menjadi sifat-sifat yang mesti dipunyai oleh pejuang-pejuang Islam untuk menjadi perbincangan dan muhasabah kepada diri kita sendiri.

Akhlak Berparti

Dalam meniti liku-liku perjuangan Islam, ianya penuh dengan ujian, mehnah dan tribulasi yang begitu mendesak. Justeru, pada diri seseorang pejuang Islam itu perlu dihiasi dengan keindahan Islam dan diwarnai dengan akhlak berjamaah agar sepanjang merentasi ujian ini sentiasa dinaungi oleh rahmat Allah s.w.t.

Ini amat penting agar pertolongan Allah sentiasa bersama para pejuang.

Bagi meletakkan perjuangan kita diterima dan direstui oleh Allah s.w.t. serta mendapat pertolongan daripadaNya, maka kita mestilah melengkapkan diri dengan sifat-sifat berikut:

1.Ikhlas

Mestilah ikhlas yakni mampunyai niat yang benar kerana Allah, menuntut keredhaanNya dengan menegakkan agamaNya sehingga didaulatkan di dalam negara yang melaksanakan hukum syariat.

Maksudnya: “Abu Musa al-‘Asy’ari r.a. telah menceritakan kepada kami, katanya : seorang arab Badwi datang menemui Rasulullah s.a.w. lalu dia bertanya : “Orang yang berperang kerana mahukan ghanimah (harta rampasan), orang yang berperang supaya disebut (menjadi masyhur), berperang kerana riak (menunjuk-nunjuk kepada orang), maka siapakah yang dikira berperang pada jalan Allah?” Jawab Rasulullah s.a.w.: “Sesiapa yang berperang supaya kalimah Allah (agama Islam) itu menjadi paling tinggi maka dialah yang berperang pada jalan Allah.” (Muttafaq’Alaih)

Yang dimaksudkan dengannya perjuangan untuk menegakkan Islam menurut situasi dan keadaan sama ada melalui cara pilihannya sehinggalah berperang di negeri yang tidak ada cara yang lain daripadanya mestilah dengan niat yang ikhlas.

Firman Allah s.w.t., maksudnya:

“Dan tidaklah diperintah kepada mereka melainkan supaya mereka mengabdikan diri kepada Allah dengan ikhlas dalam menjalankan perintah agama dengan lurus.” (Al-Baiyinah: 5)

Rasulullah s.a.w. pernah bersabda dalam sebuah hadith. Maksudnya:

“Diriwayatkan daripada Saidina Umar bin al-Khattab r.a. katanya : Rasulullah s.a.w. bersabda: “Sesungguhnya setiap amalan itu bergantung keapda niat. Sesungguhnya setiap orang itu akan mendapat sesuatu mengikut niatnya. Sesiapa yang berhijrah kerana Allah dan RasulNya, maka hijrahnya itu kerana Allah dan RasulNya. Sesiapa yang berhijrah untuk mendapatkan dunia dia akan mendapatkannya atau kerana seseorang perempuan yang ingin dikahwininya maka hijrahnya itu mengikut apa yang diniatkannya.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Apabila mengikhlaskan niat kerana Allah semata-mata maka mestilah membersihkan hati daripada sifat-sifat yang merosakkan niat seperti ‘ujub dan sum’ah.

Allah s.w.t. telah mengajar generasi awal di kalangan umat Islam dalam beberapa peristiwa di zaman Rasulullah. Di antara peristiwa-peristiwa itu ialah peristiwa uhud dan Hunain yang mejadi iktibar sepanjang zaman.

Dalam kes ini di Uhud, Allah s.w.t. telah berfirman, maksudnya:

“Dan sesungguhnya Allah telah memenuhi janjiNya kepada kamu ketika kamu membunuh mereka dengan izinNya sampai kepada saat kamu lemah dan berselisih dalam urusanitu dan menderhakai perintah rasul sesudah Allah memperlihatkan kepada kamu apa yang kamu sukai, di antara kamu ada orang yang menghendaki dunia dan di antara kamu ada orang yang menghendaki akhirat. Kemudian Allah memalingkan kamu dari mereka untuk menguji kamu dan sesungguhnya Allah telah memaafkan kamu dan Allah mempunyai kurnia atas orang-orang yang beriman.” (Ali ‘Imran: 152)

Allah s.w.t. juga telah berfirman berkenaan dengan peristiwa Hunain, maksudnya:

“Sesungguhnya Allah telah menolong kamu di medan peperangan yang banyak dan pada hari berlaku peperangan Hunain ketika kamu megah dengan diri sendiri kerana ramainya jumlah kamu, mak jumlah yang banyak itu tidak memberi manfaat kepada kamu sedikitpun dan bumi yang luas itu menjadi sempit kepada kamu, kemudian kamu lari ke belakang bercerai-berai, kemudian Allah menurunkan kemenangan kepada rasulNya dan orang-orang yang beriman dan Allah menurunkan bala tentera yang kamu tidak melihatnya dn Allah mengazabkan orang-orang kafir dandemikianlah pembalasan kepada orang-orang kafir, kemudian Allah menerima taubat dari orang-orang yang dikehendakiNya. Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (Al -Taubah: 25 – 27)

2.Percaya dengan baik kepada Allah (husnu al-thiqah billah), memohon pertolonganNya dan percaya kepada janjiNya.

Seseorang yang menceburkan dirinya dalam perjuangan Islam mestilah percaya kepada jaminan Allah dan janjiNya di dunia dan akhirat.

Perkara ini hendaklah dinyatakan dengan mengadakan hubungan yang baik dengan Allah dengan sifat taqwa, mengerjakan perintah dan meninggalkan laranganNya, sehingga ia tidak boleh dijelaskan oleh amaran, sogokan dan bagaimana sekalipun keadaan dan sifat-sifat musuh-musuh Islam itu dan sehingga tidak ada di dalam diri perasaan tidak ada harapan untuk mencapai kemenangan bagi menegakkan cita-cita Islam dan juga perasaan tidak yakin dengan janji Allah s.w.t. di akhirat.

Orang-orang yang berjuang bersama Rasulullah s.a.w. yang melakukan hijrah dan orang Ansar yang menerima dan memberi tempat kepada Islam di tanah air mereka yakin kepada janji Allah di dunia dan akhirat, walaupun tidak ada suatu wawasan yang dapat dilihat dengan mata kasar dan situasi yang terang-terang menandakan kemenangan Islam,mereka percaya kepada firman Allah,maksudnya:

“Dan sesungguhnya Allah mesti menolong orang yang menolong agamaNya, dan Allah itu Maha Kuat lagi Maha Perkasa. Orang-orang yang kami bolehkan kepada mereka memerintah di bumi mereka mendirikan sembahyang, menunaikan zakat, menyuruh kepada yang baik dan mencegah kemungkaran da bagi Allah akibat segala urusan.” (Al-Hajj: 41)

Rasulullah tidak menerima Bani Amir kerana mereka meminta jawatan sebelum mencapai kemenangan dan tidak menerima Bani Syaiban kerana mereka takut menghadapi Parsi yang menjadi kuasa besar dunia dn tidak yakin bahawa Islam dapat menumbangkan Parsi dan Rom.

Tetapi sebaliknya berbai’ah dengan aus dan Khazraj yang percaya kepada Allah dan janjiNya di dunia bahawa Islam akan menang dan jnji kebahagiaan di akhirat. Lalu mereka menunaikan perintah Allah dengan patuh dan menhadapi penghalangnya yang datang dari segenap penjuru dan sentiasa menunggu wahyu dan sabda untuk dilaksanakan dan diperjuangkan.

3.Istiqamah

Mestilah berterusan di atas prinsip perjuangan dan beramal dengan segala tuntutannya dengan tidak berpaling dan cenderung ke arah yang lain dan hanyut bersama arus jauh sekali daripada melompat dan menyeleweng daripada perjuangan.

Allah berfirman kepada Musa a.s. dan Harun a.s. yang menghadapi Firaun dalam menegakkan Islam di zamannya maksudnya:

“Allah berfirman: Sesungguhnya telah dikabulkan doa kamu berdua; oleh itu hendaklah kamu tetap (menjalankan perintahKu seterusnya), dan janganlah kamu menurut jalan orang-orangyang tidak mengetahui (peraturan janjiKu).” (Yunus: 89)

Firman Allah s.w.t. kepada nabi kita Muhammad s.a.w., maksudnya:

“Oleh itu, hendaklah engkau (wahai Muhammad) sentiasa tetap teguh di atas jalan yang betul sebagaimana yang diperintahkan kepadamu, dan hendaklah orang-orang yang rujuk kembali kepada kebenaran mengikutmu berbuat demikian; dan janganlah kamu melampaui batas hukum-hukum Allah; sesungguhnya Allah Maha Melihat akan apa yang kamu kerjakan. Dan janganlah kamu cenderung kepada orang-orang yang berlaku zalim, maka (kalau kamu berlaku demikian), api neraka akan membakar kamu, sedang kamu tidak ada sebarang penolong pun yang lain dari Allah. Kemudian (dengan sebab kecenderungan kamu itu) kamu tidak akan mendapat pertolongan.” (Hud: 112 – 113)

Dalam peristiwa yang lain pula dinyatakan, apabila sufyan bin Abdullah berkata kepada Rasulullah s.a.w., maksudnya:

Daripada Sufyan bin ‘Abdullah al-Thaqafi katanya: “Aku bertanya: Wahai Rasulullah, katakanlah kepadaku mengenai Islam dengan kata-kata yang jelas sehingga aku tidak perlu lagi beranyakan mengenainya kepada seseorang yang lain daripadamu. Sabda Rasulullah s.a.w.: Katakanlah, Aku beriman kepada Allah, kemudian hendaklah beristiqamah.” (Riwayat Ahmad)

Para rasul dan para sahabat adalah orang-orang yang paling istiqamah, tetapi mereka diperintah juga supaya beristiqamah. Ini menunjukkan bahawa sifat istiqamah itu sangat penting dan mestilah berterusan kerana ia menjadi tunggak dan cara untuk mendapatkan pertolongan Allah s.w.t., bahkan orang yang tidak istiqamah amalannya menjadi sia-sia.

4.Taat

Ketaatan itu lahir daripada sikap percaya-mempercayai di antara pemimpin dan pengikut. Apabila kepimpinan mempunyai keikhlasan dan menyatakan pengorbanan yang sebenar dan perhatian kepada perjuangan dan pengikut-pengikutnya.

Ketaatan itu mestilah dalam semua keadaan, di masa senang dan susah, di masa kelapangan dan kesempitan dalam perkara yang tidak maksiat.

Firman Allah s.w.t., maksudnya:

“Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada “Ulil-Amri” ( orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu.” (Al-Nisa’: 59)

Rasulullah s.a.w. telah meneguhkan sifat ketaatan kepada para sahabatnya dengan melakukan bai’ah di antaranya ialah Bai’ ah al-‘Aqabah yang terkenal sebelum melakukan hijrah yang merupakan perintah yang sangat penting yang membawa kepada tertegaknya sebuah negara Islam. Di dalam bai’ah itu Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya:

“Berbai’ahlah kepadaku di atas ketaatan dan mendengar (perintah) di masa cergas dan malas, bersedia bernafkah (memberi sumbangan harta benda) di masa susah dan senang,menyuruh kepada yang baik dan mencegah kemungkaran, bangun untuk menegakkan agama Allah s.w.t. tanpa mengendahkan celaan orang yang mencela, dan kamu berbai’ah untuk menolongku apabila aku tiba ke negeri kamu dan mempertahankan aku apa yang kamu lakukan untuk mempertahankan diri kamu sendiri, ister-isteri kamu dan anak-anak kamu dan untuk syurga.” (Riwayat Ahmad)

Ketaatan itu membawa kepada menunaikan tugas mengikut arahan kepimpinan dan tidak bertindak sendiri tanpa pengetahuan kepimpinan sehingga menjadi kelam kabut yang boleh menimbulkan adanya kumpulan dalam parti yang mempunyai perancangan yang berbeza dan strategi yang berlainan yang boleh membawa perpecahan dan wujudnya kumpulan atau jamaah dalam parti.

Ketaatan membawa penyelarasan yang baik di kalangan seluruh anggota dan sayap parti dan melaksanakan amal jama’ie yang tidak boleh dijejaskan oleh pandangan individu yang berbeza lalu mengikut selera masing-masing sehingga jentera parti menjadi celaru dan tidak selaras di antara satu sama lain.

Ketaatan juga dapat mengimbangkan di antara sikap yang berbaga-bagai di dalam parti, kerana ada orang yang keterlaluan, ada orang yang terlalu lambat dan ada yang sederhana.

5.Ukhuwwah (persaudaraan Islam)

Ahli-ahli parti dan penyokongnya di semua peringkat laksana batu-bata yang berselerak dan perlu diikat dengan teguh dan kuat dengan hubungan yang erat di antara satu sama lain.

Bagi menunjukkan betapa perlunya persaudaraan ini, maka Rasulullah s.a.w. menjadikan di antara perkara pertama ketika hijrah ialah mempersaudarakan di kalangan Muhajirin dan Ansar. Melalui hubungan persaudaraan ini, maka keteguhan saf di dalam perjuangan Islam itu dapat diwujudkan.

Firman Allah s.w.t., maksudnya:

“Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berperang untuk membela agamaNya, dalam barisan yang teratur rapi, seolah-olah mereka sebuah bangunan yang tersusun kukuh.” (Al-Saff: 4)

Sebarang kekosongan yang memutuskan saf nescaya dicelah oleh syaitan yang dapat menjejaskan jentera parti dan perjalanannya.

Kegiatan usrah adalah sebahagian daripada langkah mengeratkan persaudaraan, kerana perkataan usrah yang bermakna keluarga itu adalah lebih bertujuan untuk menjalinkan hubungan dan menyelesaikan masalah secara kekeluarga, adapun penekanan ilmu lebih ditumpukan dalam majlisnya sendiri iaitu majlis-majlis ilmu yang dianjurkan oleh parti, begitu juga dengan kerja-kerja kebajikan di kalangan ahli-ahli parti yang mewujudkan berlakunya tolong menolong di antara satu sama lain.

Demikian juga sebarang perhimpunan dianjurkan oleh parti dengan meyusun petugas-petugasnya dapat menjalinkan tolong- menolong yang mengeratkan persaudaraan.

6.Kerahsiaan

Perjuangan Islam ini dikepung oleh musuh-musuh yang ramai dari segenap penjuru, mereka sentiasa mengintip segala kegiatan parti untuk menentangnya, oleh itu kita tidak boleh boros dengan kenyataan yang mendedahkan kerahsiaan, membongkar perkara-perkara dalaman yang tidak patut dibuka kepada umum sehingga mendedahkan kelemahan kepada musuh dan memberi kemudahan kepada mereka untuk memukul dan melumpuhkan parti serta menggagalkan perjalanannya.

Sirah Rasulullah s.a.w. banyak mengajar kita di dalam perkara ini secara praktikal, di mana kemenangan banyak dicapai dengan cara-cara yang mengejutkan musuh dan mereka tidak ada ruang untuk mengambil kesempatan dari beberapa kelemahan yang ada.

Parti bukan sahaja perlu menyusun strategi yang baik dan rapi tetapi juga perkara-perkara yang menjadi suatu kerahsiaan yang tidak boleh diumumkan , adalah tidak wajar semua ahli mengetahui segala yang dirangka oleh kepimpinan termasuklah perkara yang perlu dirahsiakan. Adalah tidak bijaksana sekiranya untuk mengumumkan semua perkara dan ahli-ahli menekan dalam perkara ini sehingga menjejaskan ketaatan dalam melaksanakan tugas parti.

Sebaliknya sebarang rahsia musuh yang dapat dikesan sama ada kecil ataupun besar hendaklah dilaporkan kepada parti.

7.Tidak leka dengan pencapaian yang ada

Seringkali berlaku apabila terdapat sedikit kemajuan atau kemenangan menyebabkan berlakunya kelekaan dalam menjalankan tugas dan memberi sumbangan kepada parti. Allah s.w.t. telah menegur para sahabat r.a. apabila mereka memandang ringan kepada kewajipan jihad setelah mencapai beberapa kemenangan.

Firman Allah s.w.t., maksudnya:

“Dan berbelanjalah kamu pada jalan Allah dan janganlah kamu mencampakkan diri kamu ke dalam kebinasaan.” (Al-Baqarah: 195)

Seringkali berlaku di negeri atau kawasan yang mencapai kejayaan berlakunya kecuaian walaupun untuk mempertahankan kemenangan itu, sehingga tugas-tugas parti menjadi perkara-perkara sampingan.

8.Menunaikan janji dan beriltizam dengannya

Allah s.w.t. telah memberi penegasan dalam perkara ini dengan firmanNya yang bermaksud:

“Dan sempurnakanlah pesanan-pesanan dan perintah-perintah Allah apabila kamu berjanji; dan janganlah kamu merombak ( mencabuli) sumpah kamu sesudah kamu menguatkannya (dengan nama Allah), sedang kamu telah menjadikan Allah sebagai penjamin kebaikan kamu; sesungguhnya Allah sedia mengetahui akan apa yang kamu lakukan.” (Al-Nahl: 91)

Samada perjanjian dengan jamaah atau perjanjian sesama sendiri dan termasuklah juga perjanjian dengan musuh-musuh hendaklah ditunaikan dan disempurnakan dengan baik. Sebarang kemungkinan boleh menghilangkan kepercayaan di antara satu sama lain dan menghilangkan kewibawaan.

9.Tidak melampau

Allah s.w.t. melarang sikap dan tindakan yang melampau walaupun terhadap musuh di medan perang, maka terlebih utama terhadap sesama sendiri dan ketika muwajahah salasiyah.

Firman Allah s.w.t., maksudnya:

“Dan perangilah kerana (menegakkan dan mempertahankan) agama Allah akan orang-orang yang memerangi kamu, dan janganlah kamu menceroboh (dengan memulakan peperangan); kerana sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang menceroboh. (Al-Baqarah: 190)

Penutup

Demikianlah sebahagian daripada perkara yang perlu diberi perhatian dan dibincangkan di samping bermuhasabah kepada diri sendiri dan parti supaya perjuangan kita diterima, diredhai Allah dan dikurniakan kemenangan dunia dan akhirat.

Usrah dan Kepentingannya dalam Tarbiyyah Islamiyyah

Usrah dan Kepentingannya dalam Tarbiyyah Islamiyyah

MUQADDIMAH

Allah s.w.t. berfirman yang maksudnya:

“Kami ceritakan kepadamu (wahai Muhammad) perihal mereka dengan benar; sesungguhnya mereka itu orang-orang muda yang beriman kepada Tuhan mereka, dan kami tambahi mereka dengan hidayah petunjuk. Dan Kami kuatkan hati mereka (dengan kesabaran dan keberanian), semasa mereka bangun (menegaskan tauhid) lalu berkata: “Tuhan kami ialah Tuhan yang menciptakan dan mentadbirkan langit dan bumi; kami tidak sekali-kali akan menyembah Tuhan yang lain daripadanya; jika kami menyembah yang lainnya bermakna kami memperkatakan dan mengakui sesuatu yang jauh dari kebenaran.” (Al-Kahf : 13 – 14)

Golongan muda (syabab) adalah merupakan asset penting dalam memastikan kesinambungan gerakerja Islam.

Sirah Rasulullah s.a.w dan sejarah Islam telah membuktikan bahawa golongan ini memainkan peranan penting dalam memastikan tertegaknya panji Allah s.w.t. di atas muka bumi ini.

Ayat di atas telah meletakkan syarat dan asas untuk memastikan golongan ini berjuang dan bersandarkan kepada panduan inilah kita mengambil sikap untuk menjadi golongan syabab li inqaz al ummah (pemuda yang berperanan untuk mengangkat darjat ummah).

Golongan yang ingin menegakkan panji Allah s.w.t. ini perlu memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan oleh Allah s.w.t. agar pertolongan Allah s.w.t. dan kemenangan daripadaNya menjadi milik pejuang Islam.

Antara syarat-syarat tersebut ialah:

Syarat Pertama

Syarat pertama yang disebut dalam ayat ini adalah iman yang kental dan hanyalah dengan iman yang sebegini kita akan dapat menjalankan tugas dakwah yang begitu banyak tanggungjawabnya ke atas kita tetapi begitu sedikit pula kemampuan yang kita miliki.

Ciri iman yang perlu kita miliki adalah iman yang ditasdiqkan (dibenarkan) bukan sahaja pada hati dan jiwa kita tetapi iman yang dicernakan dalam bentuk amalan sehingga golongan pemuda tadi menjadi contoh dan tauladan ibarat al-Quran dan al-Sunnah yang berjalan di atas muka bumi.

Syarat Kedua

Syarat kedua adalah al-huda (petunjuk dari Allah s.w.t.). Tugas dakwah adalah tugas untuk memindahkan panduan dan arahan al-Quran ke alam waqi’ie (reality) dan ianya berhajat kepada pentafsiran dan penjelasan permasalahan semasa ummah dengan petunjuk dan hidayah yang digagaskan oleh Islam.

Islam tidak boleh diterjemahkan dalam bentuk abstrak mahupun khayalan.

Dengan demikian hanyalah dengan al-Huda dari Allah s.w.t. kita akan dapat menjawab segala persoalan yang dihadapi samada pada peringkat fardi (individu) mahupun jama’i (jamaah) ataupun dauli (antarabangsa).

Syarat Ketiga

Syarat yang ketiga adalah pertautan hati yang antara lain bermaksud untuk memerintahkan kita berjuang dan bergerak sebagai jamaah dan perhimpunan yang hati kita ini ditaut dengan ikatan iman, Islam dn ukhuwwah yang tidak mengenal sebarang perbezaan melainkan taqwa kepada Allah s.w.t.

Ikatan ini adalah ikatan yang simpulannya tidak boleh terungkai dengan permasalahan dan perbezaan furu’ tetapi yang sentiasa diarahkan oleh panduan Al-Quran dan Al-Sunnah.

Syarat Keempat

Syarat keempat yang dinyatakan di dalam ayat di atas adalah konsep haraki (gerakan) apabila Allah s.w.t. menyebut ‘ketika mana mereka berdiri’.

Islam bukanlah merupakan al-din untuk golongan al-mutafajirin (golongan yang hanya melihat) ataupun al-mutaqa’idin )golongan yang berpeluk tubuh) tetapi ianya bersifat haraki yang dinamik lagi produktif untuk sentiasa melahirkan suatu natijah dan tidak bersifat jumud (beku).

Ini tidaklah bermakna kita mengharapkan kepada natijah yang cepat tetapi ianya adalah merupakan satu rangsangan daya juang yang sentiasa mengharapkan keredhaan Allah.

Seterusnya ayat ini diakhiri dengan ikrar yang mengikat kuat hati pemuda-pemuda tadi kepada Allah s.w.t. dengan syahadah bahawa sesungguhnya Tuhan kami adalah Allah yang mencipta dan memiliki langit dan bumi, dan kami sesungguhnya berikrar bahawa Dialah sahaja yang wajib disembah dna ditaati perintahnya dan kami dengan syahadah ini membebaskan diri kami dari sebarang kompromi dan ikatan dengan sesuatu yang tidak bersifat rabbani.

Ikrar ini adalah sebagai janji setia kita dengan Allah yang bersifat aqad (ikatan) yang tidak boleh diingkari apatah lagi kalau diputuskan.

Keseluruhan tuntutan di atas adalah merupakan tugas yang dipikul oleh golongan pemuda.

Tanggungjawab berat yng dipikul dalam era al-Shahwah al-Islamiyah (kebangkitan Islam) ini memerlukan kepada golongan syabab tadi melalui satu proses yang dikenali sebagai tajnid yang membawa erti memperkemaskan pemuda tadi ibarat satu kumpulan junud (tentera).

Proses ini adalah proses memupuk kefahaman yang jelas, tanzim (penyusunan) yang rapi dan amal yang mutawasil (berterusan) yang dibuat dalam bentuk tanzim ‘amal jama’i(penyusunan gerak kerja secara berjamaah).

KONSEP ‘AMAL JAMA’I DALAM GERAKAN ISLAM

‘Amal jama’i adalah merupakan satu tuntutan harakah yang panduannya disebut di dalam Al-Quran yang bermaksud:

“Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berperang untuk membela agamaNya, dalam barisan yang teratur rapi, seolah-olah mereka sebuah bangunan yang tersusun kukuh.” (Al-Saff: 4)

Di dalam hadith, Rasulullah s.a.w. telah bersabda yang bermaksud:

“Diriwayatkan daripada Huzaifah bin al-Yamani r.a. katanya: “Manusia sering bertanya kepada Rasulullah s.a.w. mengenai amalan-amalan yang baik, tetapi aku telah bertanya tentang amalan-amalan jahat kerana aku takut ia akan menimpa diriku, lalu aku bertanya: Wahai Rasulullah! Dahulu kami berada dalam kejahilan dan kejahatan, kemudian Allah mengurniakan kepada kami kebaikan (kebenaran), adakah selepas kebenaran ini akan berlaku pula kejahatan? Rasulullah menjawab: Ya. Aku bertanya lagi: Adakah akan berlaku pula kebaikan selepas kejahatan itu? Rasulullah menjawab: Ya, tetapi ketika itu terdapat kekurangan dan perselisihan. Aku bertanya apakah yang dimaksudkan dengan kekurangan dan perselisihan itu? Rasulullah menjawab dengan bersabda: Iaitu satu kaum yang tidak beramal dengan sunnahku dan mengikut selain dari jalanku, di antara mereka itu ada yang kamu kenali dan ada yang kamu tidak mengenalinya. Aku bertanya lagi: Adakah kejahatan akan berlaku lagi selepas itu? Rasulullah menjawab: Ya, ketika itu ada orang-orang yang menyeru atau mengajak manusia ke Neraka Jahannam, sesiapa yang menyahut ajakan mereka, maka orang itu akan dicampakkan ke dalam Neraka itu. Aku berkata lagi: Wahai Rasulullah! Sifatkan mereka kepada kami. Rasulullah menjawab: Baiklah, mereka adalah sebangsa dengan kita dan berbahasa seperti bahasa kita. Aku bertanya lagi: Wahai Rasulullah! Apakah pendapatmu sekiranya aku masih hidup lagi ketika itu? Rasullullah menjawab denga bersabda: Kamu hendaklah bersama dengan jamaah Islam dan pemimpin mereka. Aku bertanya lagi: Bagaimana sekiranya ketika itu umat Islam tidak mempunyai jamaah (kesatuan) juga tidak ada pemimpin? Rasulullah menjawab lagi dengan bersabda: Kamu hendaklah memencilkan diri kamu dari kumpulan mereka walaupun kamu terpaksa memakan akar-akar kayu dan tinggallah kamu di sana sehingga kamu mati dalam keadaan yang demikian.”

Saidina Umar al-Khattab juga ada menyebut yang bermaksud:

“Tidak wujud Islam tanpa jamaah dan jamaah pula tidak akan wujud tanpa kepimpinan dan tidak wujud pula kepimpinan tanpa ketaatan.”

Bersandarkan kepada nas-nas di atas, kita hendaklah menyedari hakikat bahawa penglibatan diri di dalam jamaah Islam yang berbentuk haraki adalah merupakan satu tuntutan syara’.

Di dalam merealisasikan tuntutan ini ke dalam waqi’ kita di Malaysia, ikhwah yang sedang melalui proses tajnid ini hendaklah peka terhadap beberapa zaadun ‘ala tariq (bekalan sepanjang perjalanan) yang perlu difahami, diamalkan dan diistiqamahkan sepanjang perjalanan ini.

Sehubungan dengan itu, dua perkara yang perlu kita programkan sepanjang kewujudan kita di sini adalah al-ghayah (matlamat) dan al-wasilah (kaedah atau cara) untuk sampai dan memenuhi al-ghayah tersebut.

Al-Ghayah (Matlamat)

Satu persoalan yang sewajibnya diulangi oleh setiap ikhwah dan akhawat sepanjang komitmen kita terhadap Islam dan jamaah ini ialah apakah dia matlamat kita?

Hanyalah dengan matlamat yang jelas akan dapat mengurus arah perjalanan dan keberkesanan perjuangan kita. Sasaran utama dalam konteks matlamat kita ini adalah:

.Fard al-Muslim (individu muslim) yang terangkum di dalamnya rumahtangga dan keluarga Islam

.Masyarakat dan negara Islam yang terlaksana di dalamnya keseluruhan hukum dan tuntutan Allah Azza

Dalam mengisi tuntutan ini Al-Syeikh Sa’id Hawwa menyebut bahawa maratib (peringkat) amal yang dituntut adalah:

1.Individu muslim hendaklah memperbaiki dirinya sehingga memiliki anggota tubuh badan yang kuat, akhlak yang suci, daya intelektual yang tinggi (muthaqqaf), keupayaan untuk menguasai suasana aqidah yang bersih, ibadah yang benar, berjihad dengan dirinya,menjaga waktunya, teratur hidupnya, mampu memberi manfaat kepada orang lain dan setiap ikhwah hendaklah berusaha untuk mencernakan tuntutan ini dengan kesungguhan.

2.Membentuk rumahtangga muslim sehingga keluarganya dapat menampung fikrah yang dibawanya, memelihara adab-adab Islam dalam setiap urusan rumahtangganya, memilih isteri yang solehah dengan memberikan panduan kepada hak dan tanggungjawabnya, mendidik anak-anak dengan sebaik-baiknya.

Begitu juga dengan pembantu rumah, membesarkan mereka dalam suasana Islam dan setiap ikhwah hendak berusaha dengan satu kesungguhan untuk memenuhi tuntutan ini.

3.Memberi panduan kepada masyarakat dengan menyebarkan dakwah dengan baik dan menghapuskan segala kemungkaran, mengajak kepada yang ma’ruf, berlumba-lumba ke arah kebaikan, menjadi unsur yang dominan dalam masyarakat sehingga dapat menguasai pendapat am (public opinion) yang disandarkan dengan pandangan Islam dan menghidupkannya dalam kehidupan am.

Tuntutan ini adalah ke atas setiap individu dengan didukung oleh jamaah sebagai tenaga yang menggerakkan.

4.Membebaskan negara dari belenggu pemerintahan yang bukan Islam dalam bidang siyasah (politik), iqtisad (ekonomi) dan ruh (kerohanian).

5.Membaiki kerajaan sehingga menuruti Islam yang sebenarnya serta berkhidmat sebagai khadam ummah yang bekerja untuk kepentingan ummah.

Antara sifatnya adalah sifat belas terhadap rakyat, keadilan sesama manusia dan berjimat dalam urusan perbendaharaan dan ekonomi negara.

Menjadi kewajipan negara inipula untuk menjamin keamanan, perlaksanaan system perundangan pendidikan sehingga melahirkan kekuatan, menjaga kesihatan am dan sebagainya.

6.Mengembalikan penyatuan umat Islam secara keseluruhan dengan membebaskan negara yang dijajah, mendekatkan budaya antara kaum dan berusaha untuk mengembalikan system khilafah yang telah dimusnahkan.

7.Berusaha untuk mewujudkan cirri “ustaziyat al-‘alam” (penguasaan alam) dengan penyebaran dakwah di segenap pelusuk dunia ini sehingga tidak ada lagi fitnah dan meletakkan al-Din keseluruhannya adalah milik Allah.

Keempat-empat peringkat di atas merupakan kewajipan yang perlu dipikul dengan jamaah dan setiap individu yang bersama dengannya sebagai pendukung yang utama.

Lihatlah betapa beratnya tugas ini dan betapa besarnya tanggungjawab yang perlu dipikul yang mungkin dirasakan sabagai satu khayalan dan impian yang tidak akan tercapai oleh manusia tetapi Allah s.w.t. telah mengingatkan kita di dalam firmanNya yang bermaksud:

“Dan (setelah Yusuf dujualkan di negeri Mesir), berkatalah orang yang membeli Yusuf kepada isterinya: “Berilah dia layanan yang sebaik-baiknya; semoga ia berguna kepada kita, atau kita jadikan dia anak”. Dan demikianlah caranya kita menetapkan kedudukan Yusuf di bumi (Mesir untuk dihormati dan disayangi), dan untuk kami mengajarnya sebahagian dari ilmu takbir mimpi. Dan Allah Maha Kuasa melakukan segala perkara yang telah ditetapkanNya, akan tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui.” (Yusuf: 21)

Kita hendaklah menganggap kehadiran kita di sini adalah kehadiran dalam marhalah al-bina’ (peringkat pembinaan) dan pengemasan barisan kader perjuangan.

Maka dengan itu, antara matlamat yang perlu kita hadirkan adalah:

Pertama

Memperkemaskan diri kita dengan kefahaman Islam yang sebenarnya dengan memahami konsep tarbiyah yang syumul merangkumi tarbiyah ruhiyah; tarbiyah ‘aqliyah, tarbiyah jihadiyah, tarbiyah siyasiyah (politik), tarbiyah ijtima’iyah (kemasyarakatan) dan tarbiyah jasadiyah (fizikal).

Perkara yang perlu ditekan dalam pembentukan individu adalah:

1.Melahirkan insane yang bertaqwa pada Allah dengan pembentukan Iman dan aqidah yang benar.

2.Pembentukan fikrah Islam yang syumul (menyeluruh)

3.Pembentukan syakhsiyah Islamiyah (personality Islam) yang sempurna melalui akhlak yang benar, hati yang bersih lagi suci, ubudiyah hanya pada Allah dan memastikan hudud (sempadan) Allah dalam setiap urusan.

Perlu ditegaskan di sini bahawa musuh dan mereka yang tidak bersama dengan kita akan sentiasa mencari unsur yang negatif pada kita sebagai bahan untuk dijadikan hujah.

Pastikan sahsiah ini berjalan pada setiap ketika samada ketika bersendirian, berdua mahupun ketika ramai.

Cara berpakaian, cara mengatur rumah, perkembangan akademik dan budaya berfikir, cara bermuamalah dengan masyarakat semuanya mengajak kepada menzahirkan syakhsiyah Islamiyah.

4.Mewujudkan intima; dan iltizam kepada Islam, dakwah dan jamaah pada setiap masa dan di dalam suasana mana sekalipun.

5.Membentuk cirri-ciri kepimpinan dengan berpandangan jauh dan tajam terhadap isu sensitive terhadap perkembangan ummah dan bertanggungjawab dalam memikul tugas dan boleh memimpin.

6.Membentuk matlamat perjuangan yang jelas terhadap tanggungjawab individu kepada PAS dengan memahami dengan jelas akan perjuangnya iaitu:

a)Perjuangan yang bercita-cita untuk membentuk Daulah Islamiyah

b)Tanzim yang bersifat terbuka

c)Muwajahah silmiyah

d)Kepimpinan ulama dan penggabungan bersama oleh tenaga professional

e)Penglibatan dalam politik sebagai wasilah selain aktiviti-aktiviti lain yang mencerminkan gerakan Islam yang syumul

Kedua

Dalam hubungan ‘amal jama’I setiap nuqaba’ hendaklah jelas akan konsep tanzim kita di sini dan keperluan kepada konsep wala’ dan thiqah pada pimpinan.

Kerja kita di sini adalah kerja yang dihasilkan dari konsep syura dan bukannya pandangan individu.

Setiap keputusan yang melibatkan jamaah samada dari segi perencanaan, perjalanan dan hal ehwal ahli yang ada kaitan dengan jamaah hendaklah merupakan keputusan syura.

AL-WASILAH DAN KEPENTINGAN USRAH DALAM TARBIYAH

Bila kita menyebut tentang wasilah atau kaedah kita bekerja, terdapat unsur-unsur yang perlu difahami antaranya ialah wa’I (sedar) dan waqi’I (realistic).

Kita hendaklah sedar bahawa kita adalah pendakwah dan bukannya penghukum atau qadhi. Tugas kita adalah untuk berusaha semaksima mungkin untuk memanggil dan mengajak dan bukan untuk berebut mahupun memaksa.

Maka dengan demikian dua wasilah yang kita gunakan adalah wasilah umum dan wasilah khusus.

Dalam wasilah umum, tugas kita adalah untuk mnyampaikan Islam kepada umum dengan dakwah samada dengan lisan, tulisan ataupun dengan qudwah hasanah (contoh tauladan yang baik).

Kita hendaklah menerangkan apa itu Islam yang syamil (menyeluruh), apa itu aqidah yang benar yang kesemuanya ini perlu kembali kepada pentafsiran al-Quran dan al-Sunnah oleh ahlinya dan bukan yang diabstrakkan oleh ahli fikir semata-mata.

Kita mengadakan majlis-majlis ilmu, majlis masyarakat dengan unsur-unsur Islam dan lain-lain majlis yang boleh mesej Islam disampaikan.

Marhalah ini dikenali sebagai marhalah al-ta’rif (pengenalan) yang kandugnan utamanya adalah Islam dan Iman dan bukannya perkumpulan.

Hanya apabila telah diyakini bahawa mad’u (sasaran dakwah) telah boleh menerima konsep Islam sebagai al-Din yang syamil barulah dipindahkan kepada wasilah khusus.

Dalam wasilah khusus pula, konsep ‘amal jama’i adalah unsur yang ditekankan dan di sinilah bermulanya kepentingan usrah sebagai satu unit terpenting dalam gerakan Islam.

Dalam wasilah ini ada dua marhalah yang perlu di lalui iaitu takwin (pembentukan) dan tanfiz (perlaksanaan).

Di dalam marhalah al-takwin, unsur-unsur yang telah dikenalpasti boleh menerima konsep yang telah dijelaskan tadi hendaklah dipupuk dengan satu canaian seperti yang disebut oleh Sheikh Sa’id Hawwa sebagai nizam al-da’wah yang berbentuk sufi pada ruhnya dan ketenteraan dalam amalannya yang syiarnya adalah perintah dan taat.

Ikhwah hendaklah melatih diri untuk sentiasa berasa dalam keadaan peka dan bersedia menerima arahan dan tanggungjawab kerja.

Marhalah inilah yang dikenali sebagai tajnid untuk membentuk satu barisan keder yang telah mempunyai satu tasawur yang jelas terhadap Islam dan matlamat perjuangan kita.

Di sini beberapa pengorbanan adalah diperlukan dan ianya akan merupakan sebab kepada peningkatan Iman dan Islam kita kerana proses pencernaan akan berlaku dan beberapa ujian akan mula dirasakan.

Marhalah al-tanfiz sebagai marhalah ketiga pula adalah marhalah sebenar yang akan menguji komitmen kita terhadap segala teori yang telah kita jalani bila mana di dalam marhalah ini kita akan benar-benar berada di tengah-tengah medan juang dan di sinilah batas yang akan menguji keihlasan kita kepada Allah Aza Wa Jalla.

Ramai yang boleh berteori dan ramai yang boleh menyatakan Islam itu syamil dan kamil tetapi belum tentu yang ramai tadi akan sanggup menanggung berbagai mehnah dan ibtila’ (tribulasi dan ujian) yang akan berada di hadapannya.

Konsep Islam itu tinggi dan tidak ada yang lebih tinggi dari Islam akan terbukti kalau kita berani membenarkan dan membawa Islam itu ke tengah-tengah medan tanpa mengira sebarang halangna yang didatangkan oleh manusia samada harta, kedudukan, pangkat, nama dan sebagainya.

USRAH SEBAGAI TUNJANG DALAM TARBIYAH HARAKIYAH

Proses tarbiyah Islamiyah adalah satu proses pendidikan dan pembentukan yang bukan semata-mata satu proses pembelajaran ilmu.

Usrah yang berasal dari perkataan Arab yang membawa makna keluarga adalah merupakan satu medan di mana ahlinya bersama menjalani satu proses pembentukan yang dibina si atas semangat al-ukhuwwah al-Islamiyah.

Bila mana kita menyebut ianya sebagai satu proses pembentukan ia membawa makna penekanan dan perbincangan di dalam usrah mencakupi satu bidang yang luas dan menyeluruh.

Penekanan terhadap unsur-unsur yang akan menlahirkan peningkatan dalam kefahaman dan penghayatan terhadap Islam sebagai system yang syamil wa mutakamil (lengkap lagi melengkapi) yang akan melahirkan semangat juang dan ketahanan secara berjamaah.

Dengan demikian haruslah diingatkan bahawa usrah hendaklah merupakan satu kelompok pendidikan yang akan melahirkan ‘amilin (para pekerja) dan bukannya sekadar mufakkirin (golongan yang berfikir) walaupun kita tidak menafikan kepentingan orang-orang yang berfikir.

Usrah sebagai unit terpenting dalam gerakan Islam memerlukan satu bentuk penyusunan yang rapi kerana kita meyakini bahawa kebenaran yang tidak disusun rapi akan di atas oleh kebatilan yang kemas.

Sehubungan itu, organisasi usrah di setiap peringkat hendaklah diawasi sepanjang masa agar keberkesanannya akan dapat menguntungkan Islam dan jamaah.

PENTADBIRAN USRAH

Setiap naqib hendaklah memastikan agar perjalanan usrahnya diatur rapi dan kemas dan jangan sampai kepada peringkat yang boleh membosankan ahli-ahli usrah.

Dalam hubungan ini, isi usrah hendaklah jangan dijumudkan hanya kepada pembacaan teks dan hafalan tetapi dipelbagaikan bertepatan dengan cirri tarbiyah kita yang mempertekankan segenap aspek Islam itu sendiri.

Kepelbagaian ini boleh dibuat dalam bentuk pembacaan, perbincangan, rehlah (perkelahan), riadhah (sukan), majlis qiamullail dan sebagainya.

Usrah mempunayi beberapa cirri yang membezakannya dari nizam al-tarbiyah yang lain dan di antara cirri-ciri tersebut ialah:

1.Usrah hendaklah bersifat mutawasil (berterusan): Sesuatu pembentukan yang bersifat sekali sekala atau terputus-putus tidak akan dapat mencapai kesan yang diharapkan.

Ciri ini akan membantu proses perkembangan dan penghayatan secara yang lebih berkesan.

2.Merangkumi keseluruhan ahli samada pengikut, pekerja mahupun pimpinan. Ini adalah untuk memastikan agar tidak ada ahli yang terlepas dari program tarbiyah.

3.Mempunyai perancangan (al-takhtit) yang rapi dalam semua sudut.

4.Kesungguhan semua pihak yang terlibat samada nuqaba’ mahu pun ahli.

5.Di antara ciri-ciri keberkesanan sesuatu usrah itu akan dapat dilihat bila persoalan ini ditanya dan dapat dijawab dengan sempurna mungkin:

a.Sejauh mana peningkatan ahli dalam penghayatan Islam

b.Sejauh mana pula konsep al-ta’awum (bekerjasama) di kalangan para ahli dalam membantu proses penghayatan Islam

c.Sejauh mana ikatan dibentuk dan sejauhmana pula pelaksanaannya dalam bentuk amalan.

Akhirnya marilah kita sama-sama memperbahrui syahadah perjuangan kita dengan mengulangi ucapan Allahu rabbuna (Allah tuhan kami), al-Rasul za’imuna (Rasul pemimpin kami), al-Quran dusturuna (al-Qur’an perlembagaan kami), al-Jihad sabiluna (jihad jalan kami) dan al-maut fi sabilillah asma amanina (mati dijalan Allah adalah cita-cita tertinggi kami).

Sesungguhnya Islam tidak berhajat kepada kita tetapi kitalah yang berhajat kepada Islam dan hajat ini tidak akan dapat dipenuhi kalau keindahan dan kesyumulan Islam itu hanya kita teorikan dan tidak dicernakan dalam amalan dan perbuatan kita.

« Older entries